Jumaat, 17 Oktober 2008

MOTIVASI DIRI



Adakah kita bermotivasi? Bagaimana nak ukur motivasi? Apa perlunya motivasi? Kenapa tidak bermotivasi? Bagaimana nak meningkatkan motivasi?

Motivasi adalah semangat berkobar-kobar yang wujud dalam diri bila menghadapi cabaran untuk menjayakan sesuatu matlamat. Orang bermotivasi sentiasa ceria, yakin diri, tidak cepat mengalah, dan amat sabar menghadapi rintangan dan dugaan. Dalam minda selalu terpancar keyakinan akan mencapai kejayaan.

Mptivasi terpamer melalui perwatakan diri kita, wajah kita, komitmen kita dan cara kita berhubung dan berkomunikasi dengan orang. Senyuman menggambarkan ketulusan hati. Wajah sentiasa riang dan gembira. Orang suka cara kira menampilkan diri. Orang senang dengan kita. Orang bermotivasi sentiasa menolong orang lain, membantu bila perlu dan sentiasa berjiwa besar. Komunikasi dengan orang lain pada tahap yang rasional dan mesra. Kata-kata tidak menyakiti hati orang lain dan cepat memohon kemaafan bila dirasai hati rakannya tersentuh. Selalu menghormati orang lain, memberi salam dan berhemah.

Motivasi sangat perlu dalam hidup sebab tanpa motivasi diri kita akan lembab, tak bermaya, tak yakin diri dan cepat mengalah. Orang tidak bermotivasi amat berjiwa kecil, takutkan orang lain dan kadang-kadang menjadi pemarah dan agresif. Orang tidak bermotivasi, tidak bersemangat untuk menjayakan sesuatu dan tidak boleh diharap untuk melaksanakan sesuatu projek besar. Orang tidak akan meyakini diri kita dan kita akan diabaikan serta kita sendiri sebenarnya tidak gembira dengan diri kita sendiri.

Kita tidak bermotivasi barangkali kerana kita tidak ada sesuatu yang ingin dicapai dalam hidup. Kita tidak ada matlamat dan tidak ada keinginan terhadap seuatu. Ibarat kayu mati tidak berkembang bahkan tunggu untuk lupus dari muka bumi. Kita tidak bermotivasi kerana kita tidak yakin terhadap kemampuan kita sendiri. Kita akan menjadi seorang yang amat pasif.

Bagaimana ingin menjadikan diri kita bermotivasi. Ia bukan mudah namun apa yang kita ingin capai, kita usahakan kita akan dapat. Tidak semua orang dilahirkan berjaya namun dalam hidup kita sebenarnya kita pernah berjaya. Kita berjaya dengan meniru orang lain. Kita boleh bercakap seperti mana ibubapa kita, kita boleh berdiri, berjalan dan berlari. Semua yang kita dapat buat kini sebenarnya kita sudah belajar dalam waktu yang lama. Cuma kita tidak teruskan dalam hidup kita kini. Kalau kita pelajar kenapa kita tidak teruskan track rekod kita semasa kita kecil dulu. Cari idola untuk kita ikut seperti pelajar cemerlang. Kalau kita pekerja kenapa kita tidak mencontohi orang yang menerima anugerah cemerlang misalnya. Tetapkan matlamat kita dan pastikan ada perancangan untuk mencapainya. Untuk belajar kita perlu belajar bagaimana nak belajar. Untuk berjaya kita kena ada ilmu untyuk berjaya. Sebab itu kita kena berguru. Hormati guru. Kejar guru. Tanya guru. Buat apa yang guru suruh. Bila kita mulai berjaya kita mulai meyakini diri kita mempu berjaya. Teruskan sebab kita semakin menghampiri kejayaan....

Tiada ulasan: