Jumaat, 21 Jun 2013

Psikologi zaman Rasulullah

Terdapat suatu kisah di zaman nabi mengenai seorang pemuda yang meminta izin untuk melakukan dosa. Dosa bukan sebarangan dosa. Dosa zina. Dosa yang sangat hina. Serasa saya, kisah ini mungkin berlaku di peringkat awal perkembangan Islam.

Mungkinkah pemuda ini telah terbiasa dan seronok melakukan zina semasa jahiliyah sebelum memeluk Islam? Mungkinkah, apabila turun ayat al-Quran memerintahkan zina diharamkan, pemuda ini menjadi resah dan gelisah, lalu mencuba nasib berjumpa nabi meminta kebenaran. Manalah tahu, kalau-kalau dapat kelonggaran dan pengecualian.

Kisah ini bukan nukilan dalam kitab hikayat tetapi bersumberkan hadis di Musnad Imam Ahmad [No Hadith 21185]

Maksudnya: “…dari Abu Umamah berkata: Sesungguhnya seorang pemuda menemui Nabi s.a.w. lalu berkata: Wahai Rasulullah s.a.w.! Izinkan aku untuk berzina. Orang ramai menghampiri lalu melarangnya, mereka berkata: “Jangan, jangan.” Rasulullah s.a.w. bersabda: "Marilah." Dia mendekati Baginda s.a.w. lalu duduk, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai orang berzina dengan ibumu?" pemuda itu menjawab: Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah S.A.W., semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda lagi: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan ibu-ibu mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai orang berzina dengan anak perempuanmu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda: “Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan anak-anak perempuan mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai untuk orang berzina dengan emak-emak saudara dari sebelah ayahmu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan emak-emak saudara mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukainya orang berzina dengan emak-emak saudaramu dari sebelah ibumu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w bersabda: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan emak-emak saudara mereka." Kemudian Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan Baginda s.a.w pada pemuda itu dan berdoa: "Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, jagalah kemaluannya." Setelah itu pemuda itu tidak pernah mengerling mana-mana wanita pun.”

Sejak itu juga, zina adalah dosa yang paling dibencinya.

Wahai anak-anak muda lelaki dan perempuan sekelian,

Wahai bapa-bapa, ibu-ibu, kakak-kakak, abang-abang… kepada anak-anak muda ini. Ketahuilah!

Nasihat nabi s.a.w. kepada pemuda ini, meresap jauh ke dalam hati. Pada zaman ini disebut pendekatan psikologi. Sebahagian manusia moden menganggap ia idea dan kaedah baru. Padahal, nabi sudah laksanakan lebih 1400 tahun yang lalu.

Oleh itu, setiap ibu, kakak, adik perempuan atau setiap wanita bagi setiap keluarga, berilah pesanan dan peringatan kepada setiap lelaki di dalam rumahmu, dari kalangan ahli keluargamu, katakanlah;

“wahai anak lelakiku!”

“Wahai abangku!”

“Wahai adik lelakiku”

“Janganlah dikau lakukan zina dengan mana-mana wanita.

Sekalipun kau suka, dia pun suka!”

“Jangan kau tergamak merosakkan kesucian,

mana-mana perempuan,

sekalipun dirimu diberi keizinan,

secara rela atau dalam keterpaksaan.”

“Sanggupkah engkau, jikalau...

ibumu ini dirosakkan orang,

kakak mu dipermainkan,

adik perempuan mu dilarikan.”

“Sanggupkah dirimu, kiranya....

orang tersayang dari keluargamu diperdayakan,

direnggut kesucian,

dihancurkan kegembiraan,

masa depan kabur dan kelam,

dibayangi hukum dan pembalasan dosa,

di dunia dan di akhirat sana”

“Demi keredaan illahi

demi kasih kami selama ini

jauhilah dosa zina, jangan ia didekati

“wahai anak lelakiku!”

“Wahai abangku!”

“Wahai adik lelakiku”

Justeru…

tundukkan pandangan,

Jangan dilihat, disentuh dan diimaginasikan

yang tidak halal dan larangan

Nafsu, syahwatmu dan keinginan ...

jangan sampai luar kawalan.


Kawalan berada dalam diri anda!






Tiada ulasan: